Kamis

Keistimewaan Pengajian Syeikh Fuad al-Maliki

Kita sering dihidangkan dengan pengajian kitab oleh beberapa penceramah atau ustaz-ustaz di masjid-masjid ataupun surau-surau. Namun pengajian kitab yang disampaikan oleh Al-Fadhil Syeikh Mohd Fuad al-Maliki ada kelainannya dan begitu istimewa sekali jika dibanding dengan pengajian yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang lain.Bukanlah coretan saya kali ini untuk membandingkan kehebatan seseorang tetapi apabila saya sering mengikuti pengajian yang disampaikan oleh ulama muda iaitu Syeikh Fuad al-Maliki, membuatkan kita terasa betapa kerdil dan hinanya kita di sisi Allah swt.
Setiap kali sebelum pengajian kitab dimulakan oleh Syeikh Fuad al-Maliki, kita akan dihidangkan, malah turut serta untuk membaca Hizib Selawat, Bacaan Qasidah memuji Rasulullah s.a.w., malah beliau sendiri turut serta dalam majlis selawat yang diadakan. Ini menunjukkan betapa kasih dan cintanya beliau terhadap junjungan Rasulullah s.a.w maka beliau sering menganjurkan jemaah-jemaah yang duduk dalam majlis pengajian beliau untuk memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Maka tidak hairan jika beliau begitu lantang menentang golongan-golongan yang menyamatarafkan Rasulullah s.a.w dengan manusia lain yang ada di muka bumi ini. Dalam buku bertajuk “Keistimewaan Rasulullah s.a.w” yang ditulis oleh Syeikh Fuad al-Maliki, diceritakan betapa banyaknya keistimewaan Rasulullah s.a.w dengan mukjizat-mukjizat yang jarang-jarang dinukilkan oleh orang lain. Begitu juga dengan buku tulisan Syeikh Fuad bertajuk “Pohon Nabawiyyah”. Beliau menukilkan tentang Nasab Nabi, isteri-isterinya, putera-putri baginda dan segala-gala yang berkaitan lagsung dengan Rasulullah s.a.w.
Sewaktu pengajian di Pusat Tahfiz Al-Jazari, sebelum beliau memulakan pengajian Kitab Dalail Al-Khairat, bacaan Hizib Selawat ke atas junjungan Rasulullah s.a.w. akan berkumandang dengan begitu indah sekali. Begitu juga sebelum beliau memulakan pengajian Kitab Syamail Muhammadiyah dan Tafsir Surah Yassin, bacaan Qasidah memuji Rasulullah s.a.w akan berkumandang dalam majlis tersebut. Kepetahan dan keilmuan yang dimiliki oleh Syeikh Fuad al-Maliki akan membuatkan para pendengar akan terus berada dalam majlis pengajian beliau sehingga ianya berakhir. Syeikh Fuad al-Maliki bukan sekadar membaca hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab yang diajarnya, malah beliau turut menghuraikan maksud sebenar hadis, malah mengaitkannya dengan hadis-hadis yang seumpama dengan hadis-hadis yang yang dibacanya. Sikap tawadduk dan rendah hati yang ditunjukkan oleh beliau membuatkan kita begitu kasih dan semakin gemar mendengar kepetahan ucapan-ucapan yang disampaikannya.
Kesempatan mengikuti pengajian Syeikh Fuad al-Maliki di beberapa tempat telah saya abadikan dalam paparan video Youtube untuk dimanafaatkan oleh pencinta-pencinta ilmu. Insya’allah dengan izin Allah swt, saya akan terus mengikuti pengajian kitab oleh ulama muda ini dan menyebarkannya pula dalam bentuk video di Youtube dan berharap ia dapat dikongsi oleh seluruh umat Islam di mana jua mereka berada. Semoga Allah memberkati segala usaha murni ini daripada hambaNya yang masih lagi belajar dan terus belajar menuntut ilmu daripada insan yang telah dipilih oleh Allah dengan keilmuannya yang tinggi.

(pondok habib)

Tidak ada komentar:

Poskan Komentar